20 Soal Jawab mengenai Najis

42 Views
Read Time:6 Minute, 54 Second

Alhamdulillah. Islam adalah satu-satunya agama yang mementingkan kebersihan secara dasar agama. Perletakan hukum bagi kebersihan adalah menjadi perkara awal dalam mengenali agama. Walaupun kebersihan pada hakikatnya bergantung teris dengan budaya masyarakat, tetapi batas pemisah antara bersih dan tidak bersih itu adalh jelas dalam Islam. Sehingga ketetapan ini menjadikan Islam agama yang terlengkap untuk umat manusia seluruhnya.

Berikut ini, kami bawakn 20 soal jawab mengenai najis berdasarkan hukum Islam dalam Mazhab Syafie untuk perkongsian bersama. Soal jawab ini dipetik daripada buku Soal Jawab Fiqh Harian oleh tiga tokoh besar dalam Sejarah Islam di Malaysia iaitu Ustaz Ishak Din, Dr Harun Din dan Ustaz Abu Hassan Din al Hafiz. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas murabbi ini.

NAJIS DAN PENYUCIANNYA

1. Apakah pandangan Islam mengenai bersuci dan apakah hukum dan tujuannya?

Jawapan: Bersih dan kerbersihan, suci dan kesucian adalah merupakan perkara penting lagi besar dalam pandangan Islam bahkan ia sudah
menjadi amalan dan budaya di kalangan umat dan bangsa yang telah maju di dunia ini.Tuntutan bersuci dalam Islam amatlah luas skopnya merangkumi lahir dan batin,jasmani dan rohani, ia merupakan suatu amalan di mana hukumnya adalah wajib dan juga menjadi syarat untuk melakukan setiap ibadat dalam islam,dan juga bertujuan bagi melahirkan umat yang bersih, sihat, cergas dan maju dalam kehidupannya sebagai umat.

2. Tuntutan yang menyebabkan kita diwajibkan bersuci?

Jawapan: Tuntutan wajib bersuci berdasarkan hukum syara’ ialah;pertama,suci dari najis,dan kedua, suci dari hadas.Bersuci dari najis
adalah meliputi badan,pakaian dan tempat,manakala bersuci dari hadas hanya mengenai badan semata-mata.

3. Apakah perbezaan antara hadas dan najis?

Jawapan: Hadas,ialah kekotoran dari segi batin atau jijik dari segi syara’ sedangkan najis adalah merupakan kekotoran dari segi lahir,
tegasnya kekotoran itu tidaklah semestinya najis,tetapi najis itu tetaplah kotor,cemar dan jijik.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan najis menurut Islam?

Jawapan: Najis menurut Islam ialah sesuatu yang jijik yang menegah akan sahnya solat seseorang yang mesti disucikan mengikut cara-cara yang
yang ditetapkan oleh Islam.

5. Apakah contoh-contoh kotor dan najis itu?

Jawapan: Yang dikatakan kotor itu adalah seperti; hingus, air liur, lumpur, arang dan sebagainya, manakala najis adalah seperti; darah, nanah arak, bangkai dan lain-lain lagi.

6. Manakah lebih besar dan lebih berat di antara hadas dan najis menurut pandangan islam?

Jawapan: Diantara kedua-duanya,maka najis lebih berat,kerana tuntutan bersuci dari najis adalah wajib disegerakan sedangkan tuntutan
supaya bersuci dari hadas hanya sunat disegerakan dan najis wajib dibasuh atau disucikan walaupun terdapat didalam mata atau
hidung dan sebagainya sedangkan hadas tidak dituntut berbuat demikian.Untuk mengangkat hadas kecil memadai dengan mengambil
wuduk sahaja.

7. Adakah semua jenis najis itu dianggap sama sahaja dalam Islam?

Jawapan: Tidak! kerana menurut pendapat ulamak bahawa najis-najis itu terbahagi kepada tiga bahagian,pertama:Najis mughallazah(najis berat)
kedua:Najis mutawassitah(najis pertengahan) dan ketiga:Najis mukhaffah(najis ringan)

8. Bolehkah di terangkan contoh najis-najis tersebut dan cara menyucikannya?

Jawapan: Najis berat seperti: anjing,babi dan keturunan dari kedua-duanya atau salah satu dari kedua-duanya walaupun dengan binatang suci.
Cara menyucikannnya ialah dengan bersamak, iaitu membasuhkannya sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan air tanah. Najis ringan seperti:air kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan sesuatu selain dari susu ibunya.Cara menyucikannya,ialah dengan dipercikkan air keatasnya.Manakala najis pertengahan,ialah najis-najis selain dari najis berat dan najis ringan seperti: najis manusia dan binatang, darah, bangkai, arak, muntah dan lain-lain. Maka cara menyucikannya ialah mula-mula sekali hilangkan ainnya terlebih dahulu(jika ada),kemudian disucikan dia dengan air hingga hilang warna rasa dan baunya.

9. Adakah binatang anjing yang apabila kita menyamakkan bererti ia sudah bersih dan suci?

Jawapan: Tidak!oleh sebab binatang itu sendiri adalah najis,maka bagaimana disucikan dan disamakkannya sekalipun tetap ia najis juga(tidak suci) tetapi yang dimaksudkan dengan samak itu ialah menyamak kesan-kesan sentuhannya atau jilatannya dan sebagainya,dan bukanlah dimaksudkan dengan menyamak anjing itu sendiri.

10. Bagaimanakah dengan binatang-binatang yang lain dari keduanya seperti kucing, harimau, tikus, ular dan sebagainya adakah ia juga najis?

Jawapan: Tidak!sebenarnya semua jenis binatang (semasa hidupnya) adalah suci melainkan dua jenis bintang sahaja iaitu anjing dan babi.

11. Kita faham bahawa bangkai itu adalah najis,jadi bolehkan diterangkan pengertian bangkai itu sendiri?

Jawapan: Yang dikatakan bangkai menurut Islam ialah setiap binatang yang haram dimakan dagingnya kemudian mati ia walaupun dengan disembelih, dan binatang yang halal dimakan dagingnya lalu matilahlah ia tanpah disembelih, maka semua itu dinamakan bangkai.

12. Apakah hukumnya kalai kita memotong atau mengambil sedikit daging dari binatang lembu atau kerbau yang masih hidup untuk dijadikan
lauk?

Jawapan: Perbuatan memotong mana-mana anggota badan binatang yang masih hidup adalah merupakan suatu penyiksaan terhadap binatang dan dilarang keras oleh Islam sedangkan apa yang terpotong itu samada kulitnya atau dagingnya adalah dihukum sebagai bangkai.

13. Adakah semua binatang apabila mati dianggap bangkai dan najis hukumnya?

Jawapan: Tidaklah semua binatang yang mati itu dihukum sebagai najis,kerana disana terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa manusia,ikan dan belalang apabila mati tidak menjadi bangkai dan tidak najis.

14. Bagaimankah dengan bangkai seperti semut atau lalat yang jatuh ke dalam makanan atau minuman atau berada di dalam kocek baju yang dibawa bersolat dengannya?

Jawapan: Dalam masaalah ini, sebagai pengetahuan kita bersama bahawa setipa binatang yang tidak mempunyai darah yang mengalir semasa hidupnya dan apabila mati ia adalah dimaafkan seperti binatang semut, lipas, kalkatu, labah-labah dan sebainya.

15. Bagaimanakah pula dengan kulit-kulit binatang yang diambil dan dibuat seperti: beg,tali pinggang,kasut dan sebagainya?

Jawapan: Pada dasarnya semua bangkai adalah najis,tidak kira samada binatang itu dimakan dagingnya atau tidak,tetapi kulitnya(selain dari anjing dan babi) memang boleh dimaafkannya setelah disucikannya dengan cara bersamak.

16. Bagaimanakah cara menyamak kulit-kulit bangkai dan bagaimanakah kita boleh ketahui yang kulit itu sudah disamak?

Jawapan: Cara menyamaknya adalah senang lagi mudah sekali dan siapa sahaja boleh melakukannya iaitu dengan menghapus dan menghilangkan saki baki daging, darah dan lemak-lemak yanag masih ada di kulit itu lebih dahulu, kemudian dibasuh dan disuci dengan menggunakan sesuatu yang tajam rasanya seperti tawas dan seumpamanya lalu dibasuh dan bersih hingga suci dan akhir sekali dijemur hingga kering betul-betul,apabila sudah kering dan tidak mempunyai baunya lagi maka itulah menjadi tanda yang kulit itu sudah disamak.

17. Adakah salah dan berdosa jika seseorang itu memegang anjing atau babi dengan tangannya tanpa berlapik?

Jawapan: Tidak menjadi apa-apa kesalahan, bahkan tidak berdosa kalau hanya dengan melihat atau memegangnya sahaja,cuma hendaklah disamak.Tetapi yang dilarangnya ialah memakan samada dagingnya, tulangnya, lemaknya dan sebagainya,Larangan ini ini begitu jelas sekali sebagaimana tersebut didalam surah Al-Maidah Ayat 3.

18. Bagaimanakah dengan bangkai tikus yang jatuh kedalam bekas yang berisi air, apakah air itu masih boleh diminum atau digunakan untuk sesuatu?

Jawapan: Bangkai tikus atau sebarang najis yang jatuh kedalam bekas yang mengandungi sesuatu yang cair seperti air,minyak dan sebagainya,maka hukumnya adalah najis dan tidak boleh diminum atau digunakan untuk sebarang keperluan kecuali jika terjatuh kedalam makanan atau sesuatu yang keras atau kering,maka hendaklah dibuang bangkai itu dan barang yang disekitarnya sahaja, sedangkan selainnya adalah suci dan boleh dimakan.

19. Adakah semua yang keluar dari kemaluan manusia dan binatang itu dalah najis?

Jawapan: Pada umumnya setiap cecair yang keluar melalui kemaluan manusia atau pun binatang adalah najis,kecuali air mani kerana ia adalah suci.Dan setiap yang keras yang keluar melalaui kemaluan manusia dan binatang seperti: wang syiling, biji-bijian dan sebagainya adalah mutanajis (terkena najis yang menjadikannya najis) dan akan jadi suci apabila dibersihkannya.

20. Betulkah pendapat yang mengatakan bahawa air kencing kanak-kanak lelaki atau perempuan itu adalah sama sahaja dimana suci ia dengan dipercikkan air semata-mata?

Jawapan: Mungkin tidak betul pendapat seperti itu, kerana sebenarnya air kencing kanak-kanak lelaki sahaja yang suci dengan dipercikkkan air keatasnya,sedangkan air kencing kanak-kanak perempuan adalah wajib dibasih sama seperti orang dewasa.

Kesimpulan: Islam agama rahmah yang mementingkan fitrah manusia iaitu bersih. Sambil mengikat kebersiihan itu dengan keimanan, Islam menjaga bukan sahaja aspek lahiriah atau fizikal, bahkan aspek rohani atau spiritual juga diambil kira dalam ketetapan mengenai kebersihan dan kekotoran, sehingga Islam meletakkan satu konsep yang lebih besar sebagai semoadan antara keduanya iaitu najis dan hadas. Sebagai perubahan dalam diri, kita perlu mewujudkan kesedaraan dan pembudayaan bersih berasaskan syarak, bermul daripada rumah dengan anak-anak dididik dengan kebersihan rohani dan jasmani.

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleppy
Sleppy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *