Air Nikmat yang Didustakan

43 Views
Read Time:6 Minute, 0 Second

Air adalah ciptaan Allah yang sangat agung. Walaupun sains boleh merungkai tentang komposisi Air iaitu hidrogen dan oksigen, tetapi kejadian air itu sendiri menunjukkan Allah maha kaya dengan segala ilmu dan ciptaan. Islam adalah satu agama yang mementingkan kebersihan. Islam dari awalnya agama firtrah ini iaitu sejak Nabi Adam alaihissalam, meletakkan kepentingan air dalam menjaga kebersihan dan sebagai alat asas dalam beribadah kepada Allah swt.

Bayangkan anda berada di sebuah kawasan tandus, berhari-hari tidak bertemu air, kerana keringnya udara dan tanah, tentunya Air lebih bernilai daripada seketul emas. Tetapi, dibumi Malaysia, Air banyak disia-siakan oleh masyarakat termasuk membuang kotoran ke sumber air sehingga menyebabkan kos rawatan dan penggunaan air itu sangat tinggi. Lebih elok duit rawatan tersebut digunakan oleh Kerajaan dalam membangunkan infrastruktur lain atau keperluan modal insan negara.

Kami kongsikan soal jawab berkenaan air yang telah disediakan oleh Almarhum Ust Ishak Din, Dr Harun Din dan Ust Hasan Din al-Hafiz dalam bukunya, Soal Jawab Fiqh Harian. Semoga ruh para ulama ini ditempatkan bersama para salafussoleh dan kita juga akan ditempatkan bersama mereka kelak.

1. Apakah benda atau alat-alat yang boleh dibuat bersuci dengannya?

Jawapan: Alat atau bahan yang harus kita bersuci dengannya sama ada untuk mengangkatkan hadas atau pun menghilangkan najis dan sebagainya adalah seperti berikut:

  • Pertama: Air mutlak dengannya boleh digunakan untuk semua keperluan termasuklah membasuh najis dengan mengangkat hadas dan sebagainya.
  • Kedua : Debu tanah dengannya kita diharuskan untuk bertayammum samada hadas kecil atau hadas besar sebagai mengggantikan air bagi membolehkan kita bersolat dengan beberapa syarat tertentu.
  • Ketiga : Tanah denganya membolehkan kita untuk menyamak dari kesan-kesan najis mughallazah,disamping menggunakan air.
  • Keempat: Batu dan seumpamanya denganya kita diharuskan untuk beristinjak semata-mata,ketika ketiadaan air.

2. Adakah semua jenis air boleh dibuat bersuci dengannya?

Jawapan: Tidaklah semua air boleh dibuat bersuci dengannya,kerana menurut pendapat para ulamak dimana air itu terbahagi kepada beberapa jenis dan berlainan pula hukumnya.

3. Bolehkah sebutkan jenis-jenis air dan hukum-hukumnya?

Jawapan: Air terbahagi kepada empat bahagian:

  • Pertama: Air mutlak atau air tabie iaitu air yang tidak dikaitkan dengan sesuatu jenama tertentu, maka hukumnya adalah suci lagi menyucikan, seperti air hujan,air laut,air perigi,air embun dan sebagainya.
  • Kedua : Air mustakmal,iaitu air sedikit(kurang dari dua kolah)yang telah digunakan bagi sesuatu yang fardhu,atau yang bercampur dengan sesuatu yang suci sehingga menyebabkan berubah warna,rasa dan baunya maka hukumnya adalah suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain.
  • Ketiga : Air mutanajis,iaitu air sedikit yang jatuh najis kedalamnya maka hukumnya adalah tidak suci dan tidak menyucikan.
  • Keempat: Air musyammas,iaitu air yang terjemur atau dijemur di panas matahari yang terik dalam bekas yang boleh berkarat,maka hukumnya adalah suci lagi menyucikan tetapi makruh digunakan pada badan.

4. Apakah hikmah larangan menggunakan air musyammas pada badan?

Jawapan: Memang ada bahayanya kerana ia boleh mendatangkan penyakit.Baginda Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya:

Dari aisyah telah redha oleh allah daripadanya bahawasanya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari,lalu Baginda bersabda terhadapnya janganlah engkau perbuat demikian wahai aisyah,sesungguhnya air tersebut boleh mendatangkan penyakit sopak.

5. Apakah air-air yang termasuk dalam bahagian air mutlak yang suci lagi menyucikan itu?

Jawapan: Air yang termasuk dalam bahagian ini ada tujuh jenis iaitu air hujan, air laut, air sungai, air perigi, airmata air, air embun, dan air salji yang telah dicairkan.

6. Bagaimankah dengan air sungai atau air telaga yang jatuh najis kedalamnya? Adakah boleh digunakan untuk berwuduk?

Jawapan: Ya memang boleh digunakan.Air sungai yang banyak yang lebih dari dua kolah yang didapati najis di dalamnya adalah suci selagi mana tidak mengubahkan sifat-sifat air seperti warna, rasa dan bau. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Apabila adalah air sebanyak dua kolah tidak menanggung najis.

7. Apakah yang dimaksudkan dengan sifar-sifar air itu?

Jawapan: Ijmak para ulamak mengatakan bahawa sifat-sifat air itu,ialah warna, rasa dan bau.Maksudnya kalau air tersebut (air sungai dan perigi) berubah salah satu dari sifat-sifat tersebut dengan sebab jatuh najis ke dalamnya maka di waktu itu tidaklah boleh dibuat bersuci denggannya lagi. Ini dapat difahami dari keterangan sebuah hadis yang bermaksud:

Bahawasanya air itu tidak dinajiskan dia oleh sesuatu melainkan barang yang mengerasi atas baunya dan rasanya dan warnanya.

8. Apakah yang harus dilakukan supaya air mustakmal atau air mutanajis itu dapat digunakan untuk bersuci?

Jawapan: Air mustakmal atau air mutanajis itu boleh digunakan iaitu dengan cara hendaklah ditambahkan hingga sampai dua kolah atau lebih,kemudian lihatlahkalau tidak didapati sebarang perubahan pada sifat-sifat air tadi maka diwaktu itu ia sudah menjadi suci lagi menyucikan, begitulah juga dengan umpama air dalam sebuah perigi yang berubah sifatnya dengan sebab jatuh najis kedalamnya, atau dikurangkan airnya sedangkan bakinya masih melebihi dua kolah, atau dengan dibiarkannya beberapa lama, kemudian dengan sebab itu lalu hilanglah perubahan pada air tersebut, maka di waktu air tersebut sudah kembali menjadi suci sebagai air mutlak.

9. Bagaimankah dengan air laut yang masin itu, adakah boleh digunakan untuk bersuci?

Jawapan: Ya memang boleh bersuci dengannya,kerana sebenarnya air laut itu adalah air mutlak,iaitu suci lagi menyucikan,tentang rasa masinnya air tersebut adalah merupakan sifat semula jadi baginya,dalam kontek ini Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

Air laut itu adalah suci dan halal bangkainya.

10. Apakah pula hukumnya seandainya air dalam sebuah perigi yang berubah sifatnya disebabkan daun-daun kayu yang terjatuh ke dalamnya?

Jawapan: Perubahan pada air tersebut dengan sebab daun-daun kayu dan sebagainya,maka sedikit pun tidak menjejaskan kesucian air tersebut, maksudnya air tersebut masih dianggap sebagai air mutlak iaitu suci lagi menyucikan.

11. Kalau air dalam sebuah takongan atau kolam yang berubah sifatnya seperti rasa masam atau warnanya kehitaman,apakah hukumnya?

Jawapan: Sekiranya air dalam sebuah takongan atau kolam itu melebihi dua kolah dan berubahnya dengan sebab lama bertakong,maka air tersebut adalah suci dan boleh digunakan untuk berwudhuk dan sebagainya,tetapi kalu air tersebut berubah disebabkan najis yang jatuh dalamnya, maka tidak syak lagi air tersebut tidak boleh digunakan untuk bersuci.

12. Apakah pula hukumnya berhubung dengan air kelapa atau sirap dan sebagainya?

Jawapan: Air-air tersebut dan sebagainya adalah suci tetapi tidak menyucikan, maksudnya boleh diminum tetapi tidak boleh mengangkat hadas atau menghilangkan najis dengannya.

13. Berhubung dengan air sedikit,bolehkah kita mencelupkan anggota wudhuk atau membasuh najis ke dalamnya?

Jawapan: Tidak boleh! menurut kaedah dalam Mazhab Syafie, air yang sedikit hendaklah mendatangi ia akan anggota wudhuk atau najis,tetapi kalau air itu banyak maka bolehlah didatangi keatasnya.

14. Bagaimanakah dengan air sisa kucing (air liur), najis atau tidak?

Jawapan: Kucing binatang jinak yang dipelihara oleh manusia lagi suci hukumnya, maksudnya air sisa kucing itu pun suci juga.Dalam hal ini Baginda pernah bersabda maksudnya:

Bahawasanya kucing itu tidak najis,sesungguhnya ia termasuk dalam golongan binatang-binatang yang berkeliling dalam lingkungan kamu.

Kesimpulan: Air adalah sumber kehidupan. Banyak sekali ayat-ayat al-Quran yang menandakan air yang turun daripada awan, adalah salah satu tanda kekuasaaan Allah swt dan keupayaan manusia untuk berfikir tentang kepentingan air. Air adalah alat penyucian dan agama Islam, melalui kaedah suci dan ketetapan najis dan hadasnya telah menghubungkan kepada kepentingan air dan telah mengubah banyak budaya masyarakat terutama dalam beristinjak, di mana air adalah alat yang paling sempurna untuk kebersihan.

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleppy
Sleppy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *