Istinja’: Hukum dan Ketetapannya

33 Views
Read Time:4 Minute, 27 Second

Istinjak adalah satu hukum yang terpenting dalam Islam. Islam mengajar bagaimana umatnya harus menjaga kesihatan diri bukan sahaja untuk dirinya, tapi juga untuk orang disekitarnya. Allah jadikan manusia daripada zat-zat tanah dan pada masa yang sama, badan manusia daripada tanah ini akan mengumuh bahan-bahan yang ada padanya melalui banyak rongga-rongga, seperti hidung, telinga, liang roma seterusnya melalui alat-alat kelamin dan tempat buangan najis besar.

Di Malaysia yang kaya dengan air, istinja’ dilihat sebagai hukum yang kecil. Pengalaman penulis melawat beberapa negara yang budaya membersihkan air besarnya tidak menggunakan air, kita dapat rasakan peri pentingnya istinja’ untuk keselesaan diri dan orang disekeliling kita. Lantas, Islam dilihat sebagai satu agama yangmembentuk budaya melalui hukum-hukumnya yang berprinsip, segar dan sesuai sepanjang zaman.

Dalam usaha untuk memberi faham kepada para pembaca, kami bawakan beberapa soalan yang kerap ditanya untuk memahami ibadah ini. Namun begitu, baik juga kepada rakan-rakan pembaca, untuk melihat penerangna-penerangan daripada para penceramah bebas secara praktikal bagi istinjak ini.

1. Apakah erti istinjak dan hukumnya?

Jawapan: Istinjak ertinya menyucikan najis yang ada di kemaluan seseoranag selepas membuang air kecil atau air besar, manakala hukumnya adalah wajib, maksudnya setiap cecair yang keluar melalui qubul dan dubur selain dari air mani adalah najis dan wajib disucikannya.

2. Bagaimanakah cara istinjak yang diharuskan oleh Islam?

Jawapan: Sebenarnya istinjak itu harus dilakukan dengan salah satu dari tiga cara seperti:Pertama dengan menggunakan sesuatu yang keras lagi kesat kemudian diikuti dengan air.Kedua dengan menggunakan air semata-mata. Ketiga dengan menggunakan benda-benda keras lagi kesat semata-mata seperti kertas,batu,daun-daun kering dan sebaginya

3. Apakah syarat-syarat yang membolehkan kita beristinjak dengan benda-benda kesat tanpa menggunakan air?

Jawapan: Untuk beristinjak dengan cara ini memerlukan beberapa syarat seperti berikut:

  1. Hendaklah sekurang-kurangnya dengan tiga kali sapu atau lima kali atau tujuh dan seterusnya dengan cara yang ganjil.
  2. Hendaklah najis yang ada di kemaluan itu belum kering.
  3. Hendaklah najis yang keluar itu tidak melampaui dari tempat keluarnya.
  4. Tidaklah pula didatangi oleh najis yang lain keatasnya.Sekiranya kurang salah satu dari syarat-syarat tersebut maka pastilah digunakan dengan air semata-mata.Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Apabila beristinjak dengan batu oleh seseorang kamu maka hendaklah keadaan ganjil.

4. Bolehkah kita beristinjak dengan umpama kertas akhbar atau roti kering dan sebagainya?

Jawapan: Dalam hal ini perlu diingatkan bahawa kita dilarang beristinjak dengan sesuatu yang dihormati seperti makanan manusia dan jin dan juga dengan sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat suci al-quran atau nama-nama Allah dan sebagainya.

6. Adakah dengan mengeluarkan angin(kentut) wajib beristinjak?

Jawapan: Kalau hanya dengan mengeluarkan angin semata-mata,maka tidaklah wajib istinjak bahkan makruh hukumnya,tetapi kalau keluarnya serta basah atau lembab maka di waktu itu sunatlah beristinjak.

7. Beristinjak dengan menggunakan tangan kanan apakah hukumnya?

Jawapan: Sebenarnya dalam hal ini,kita dituntut supaya menggunakan dangan tangan kiri,para ulamak telah ijmak atas bahawasanya ditegah beristinjak dengan tangan kanan,jumhur ulamak manghukumkan makruh berbuat demikian, walaupun terdapat sebahagian ulamak zahiri menghukumkan haram. Sebab ditegah kita beristinjak dengan tangan kanan,kerana ia adalah anggota yang lebih mulia dari tangan kiri dan juga ia untuk melakukan kerja-kerja yang baik seperti makan, minum, menulis, mengambil sesuatu dan sebagainya.

8. Apakah ada adab-adab atau peraturan membuang air kecil atau besar menurut Islam?

Jawapan: Dalam Islam memanglah ada garis panduan dan peraturan mengenainya,di antaranya adalah seperti berikut:

  1. Hendaklah masuk ke tandas dengan lebih dahulu membaca doa yang kita sudah sedia maklum.
  2. Hendaklah masuk dengan melangkah kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan.
  3. Hendaklah menutup kepala dengan sesuatu seperti kain tuala dan sebagainaya.
  4. Hendaklah qada hajat itu dilakukan dengan keadaan duduk.
  5. Jangan bercakap atau membaca sesuatu ketika qada hajat.
  6. Janganlah mengadap atau membelakangi qiblat apabila qada hajat ditempat yang tidak mempunyai tutupan atau dinding.
  7. Janganlah memakai sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat suci atau nama-nama Allah semasa kedalam tandas.
  8. Jangan membuang air besar di tempat-tempat seperti di jalanraya,di bawah pohon-pohon yang berbuah,di tempat-tempat teduhan manusia, di tempat laluan air dan lain-lain lagi.
  9. Hendaklah diam sekejap serta berdehem-dehem selepas membuang air kecil.
  10. Hendaklah membaca doa sebaik sahaja keluar dari tandas.

9. Apakah bahaya dan keburukan mereka yang tidak peka dengan istinjak?

Jawapan: Perbuatan memandang ringan atau berlebih kurang dengan beristinjak,adalah merupakan suatu sikap yang buruk lagi tidak bersopan dan bercanggah dengan nilai-nilai kesucian dalam Islam,dan perbuatan seperti itu selain dari merupaka suatu kesalahan,ia juga akan menerima azab di dalam kubur nanti sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud.

Daripada Ibnu Abbas bahawasanya Nabi s.a.w melalui di atas dua perkuburan lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kedua-duanya itu disiksa kedua-duanya, dan tidaklah disaksikan keduanya kerana melalukan dosa besar. Adapun yang ini,maka adalah ia tidak menutup dari kencingnya,dan adapun yang ini, maka ia berjalan dengan mengacum-acum.

Kesimpulan: Walaupun istinja’ ini kelihatan satu hukum yang kecil, tetapi kesan hukum ini amatlah besar kerana menjadi kunci dalam diterima atau tidak ibadah seseorang. Melalui kehalusan hukum ini, Rasulullah s.a.w telah berjaya mengubah bangsa Arab daripada satu bangsa yang nomad, kepada satu bangsa yang lembut adapnya dan baik budayanya. Bersyukur kita dilahirkan dalam Islam atau kita diberi hidayah kepada Islam. Kerana Islam itu agama yang mementingkan kebersihan dan setiap perilaku dasarnya, dijalin dengan ganjaran daripada sisi Allah s.w.t.

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleppy
Sleppy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *