Mandi: 20 soal jawab fikah mengenainya

47 Views
Read Time:7 Minute, 17 Second

Seperti beberapa siri yang lepas, Islam meletakkan mandi sebagai satu kemestian bagi setiap hari untuk tujuan mendapat keredhaan Allah. Berikut adalah 20 soalan asas mengenai ibadah mandi untuk perhatian kita bersama.

1. Apakah erti mandi dan apakah hukumnya?

Jawapan: Mandi ertinya,meratakan air ke seluruh badan,manakala hukumnya,maka lihatlah kepada keadaan dan sebab-sebabnya,ada yang hukumnya wajib dan ada pula mandi yang hukumnya sunat.

2.Apakah erti mandi wajib?

Jawapan: Mandi wajib,ialah suatu tuntutan kebersihan dalam Islam dengan meratakan air ke seluruh badan disertakan dengan niat setelah berlaku hadas besar atau mati selain dari mati syahid (dunia akhirat)

3. Apakah sebab-sebab wajib mandi dalam Islam?

Jawapan: Islam mewajibkan umat-umatnya mandi apabila berlaku salah satu dari perkara-perkara seperti berikut:

  1. Bertemu dua khatan (memasuki oleh seseorang hidup akan zakarnya ke dalam faraj perempuan atau duburnya) maka perbuatan yang demikian jadilah kedua-duanya itu berjunub atau berhadas besar namanya.
  2. Keluar air mani, iaitu air yang terpancar dari kemaluaan seseorang setelah memuncak syahwatnya, sama ada keluarnya di waktu jaga atau pun lena, dengan perbuatan sendiri atau lainnya, maka wajiblah mandi ke atasnya.
  3. Mati, setiap orang Islam yang meninggal dunia sama ada lelaki atau perempuan,kecil atau besar,maka wajib dimandikan ke atasnya,walaupun seseorang itu mati di dalam air,kecuali mati syahid fi sabilillah.
  4. Haid,iaitu darah yang keluar melalui faraj perempuan yang sekurang-kurang usianya sembilan tahun maka diwajibkan mandi sebaik sahaja kering haidnya.
  5. Wiladah, iaitu perempuan yang melahirkan anak sama disertai dengan basah atau tidak,dan termasuklah juga perempuan keguguran.

4. Adakah diwajibkan mandi atau tidak ke atas orang yang mimpi bersetubuh?

Jawapan: Kalau hanya sekadar bermimpi semata-mata,tentulah tidak wajib mandi,tetapi kalau sampai keluar air mani,maka di waktu itu barulah diwajibkan mandi

5. Bagaimanakah dengan orang yang keluar air mazi, adakah juga diwajibkan mandi?

Jawapan: Air mazi, ialah air yang berwarna putih jernih lagi cair yang keluar sewaktu timbul keinginan tanpa memancut dan tanpa disedari, maka hukumnya tidaklah diwajibkan mandi tetapi diwajibkan basuh sahaja,kerana ia adalah najis,hal ini dapat difahamkan dari sebuah hadis yang bermaksud:

“Daripada Ali bin Abi Talib katanya, adalah aku seorang yang sering keluar air mazi, lalu aku menyuruh seorang lelaki supaya bertanya ia akan Nabi s.a.w kerana aku malu, maka jawab Baginda: Berwudhuklah dan basuhlah kemaluanmu”.

6. Bagaimanakah dengan orang yang berjunub di waktu malam, adakah ia diwajibkan segera mandi untuk mengangkat hadas besarnya?

Jawapan: Sebenarnya bagi mereka yang berjunub atau berhadas besar sama ada di waktu malam ataupun pada waktu siang hari, maka tidaklah wajib disegerakan mandinya, bahkan sunat jua,dan tidaklah menjadi kesalahan jika ia melengahkan mandi, kecuali apabila sampai masa untuk mendirikan solat, diwaktu itu wajibkan ia mengangkat hadasnya.

7. Apakah hukum orang yang berjunub itu makan minum atau tidur tanpa mengangkat hadasnya lebih dahulu?

Jawapan: Perbuatan seperti itu dalah makruh sahaja hukumnya, sebab itulah disunatkan berwudhuk lebih dahulu sebelum melakukan sesuatu termasulah tidur.

8. Batal atau tidak mandi seseorang yang mendapati sisik ikan di badannya yang menyebabkan tidak sampai air kepadanya?

Jawapan: Tidak,sebenarnya tidak ada perkara-perkara yang membatalkan mandi dan juga tidak ada tertib padanya,oleh yang demikian apabila mendapati masalah seperti ini hendaklah ditanggalkan sisik itu dan dikenakan air atau basuh padanya, maka selesailah masalahnya.

9. Kalau seseorang itu mengangkat hadas besar,adakah diwajibkan wudhuk selepas itu?

Jawapan: Tidak, bahkan sunat sahaja,apabila seorang mengangkat hadas besar, maka dengan tersendirinya terangkat hadas kecil perlu diingat bahawa jangan berlaku sesuatu yang membatalkan wudhuk sewaktu mengangkat hadas besar,kalau tidak wajiblah berwudhuk untuk mendirikan solat.

10. Apakah yang mesti dilakukan ketika mengangkat hadas atau mandi wajib?

Jawapan: Perkara-perkara yang mesti dilakukan di waktu mandi wajib ialah:

  1. Sucikan najis terlebih dahulu jika ada di badan.
  2. Niat mengangkat hadas besar sebaik sahaja air mengenai mana-mana anggota badan.
  3. Meratakan air keseluruh badan.

Maka itulah sahaja perkara yang menjadi rukun-rukun mandi.

11. Bagaimanakah cara niat mandi wajib?

Jawapan: Seseorang yang hendak mandi wajib,hendaklah ada lintasan atau ingatan dihati(niat) tatkala memulakan mandi,contohnya: Aku mengangkat hadas janabah atau mengangkat hadas besar sekelian badanku kerana Allah Taala.

12. Apakah hukum seorang suami yang mendatangi isterinya yang pertama kemudian pula mendatangi akan isterinya yang kedua pada malam yang sama pada hal ia belum mandi sebelumnya?

Jawapan: Hukumnya adalah harus, walaupun ia mendatangi keempat-empat isterinya dengan mandi yang satu. Hal ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Daripada Anas bahawasanya Nabi s.a.w telah mengilingi (jimak) akan isteri-isterinya pada mandi yang satu”.

Walau bagaimana pun dijelaskan bahawa siapa yang bersetubuh dengan isterinya kemudian hendak mengulangi bagi kali kedua, maka disunatkan supaya berwudhuk terlebih dahulu, ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila mendatangi oleh seorang kamu akan ahlinya,kemudian menghendaki bahawa mengulanginya,maka hendaklah ia berwudhuk di antara keduanya akan sebagai wudhuk yang sempurna”.

13. Dalam mandi wajib, adakah mesti dibasuh hingga sampai air kedalam hidung atau lubang telinga dan sebagainya?

Jawapan: Tidak wajib berbuat demikian hanya cukup dengan membasuh apa yang lahir dari kedua-duanya.Disini perlu diingatkan bahawa wajib bagi orang perempuan menyampaikan air kefaraj yang zahir ketika duduknya,kerana ia adalah dikira sebagai anggota lahir.

14. Bagaimanakah dengan mandi jenazah kanak-kanak lelaki yang masih belum berkhatan yang tidak sampai air dibawah kulupnya?

Jawapan: Dalam masalah ini apabila didapati sukar dihilangkan kulupnya, maka janganlah dilakukan, kerana yang demikian itu merupakan suatu penghinaan terhadap mayat, bahkan hendaklah ditayammum sebagai ganti dari membasuh yang dibawahnya, ini adalah pendapat Syeikh Ibnu Hajar, tetapi di sisi Imam Syeikh Ramlee ditanamkan dia tanpa solat ke atasnya. Wallahu’alam.

15. Selain dari mandi-mandi wajib, apakah pula mandi-mandi sunat?

Jawapan: Mandi-mandi yang dituntut supaya kita lakukan adalah banyak,diantarannya:

  1. Mandi untuk menghadiri solat jumaat
  2. Mandi dua hari raya(aidilfitri,aidiladha)
  3. Mandi kerana memandikan orang mati
  4. Mandi kerana Ihram Haji atau Umrah
  5. Mandi kerana memeluk agama islam
  6. Mandi kerana telah siuman dari gila
  7. Mandi setelah badan berubah baunya,dan lain-lain lagi.

16. Ada setengah pendapat mengatakan bahawa orang-orang kafir wajib mandi apabila ia memeluk Islam, apakah benar pendapat ini?

Jawapan: Kemungkinan pendapat ini juga ada benar, iaitu sekiranya orang yang memeluk agama islam itu pernah melalukan hadas besar dalam masa kafirnya, tetapi kalau tidak, maka hanya disunatkan sahaja mandi.

17. Apakah perkara-perkara yang menjadi sunat semasa mandi?

Jawapan: Dalam melakukan mandi wajib,maka terdapat pula beberapa yang dituntut secara sukarela(sunat) kita lakukan diantaranya:

  1. Hendaklah membasuh kemaluannya.
  2. Hendaklah berwudhuk sebelum mandi
  3. Hendaklah menyebutkan nama Allah ketika memulakan mandi
  4. Hendaklah mendahulukan jirusan air disebelah kanan badan
  5. Hendaklah menggosok-gosok seluruh badan
  6. Hendaklah berturut-turut dari awal hingga akhirnya, dan lain-lain lagi.

18. Apakah yang menjadi pantang larang ke atas orang yang berjunub atau berhadas besar?

Jawapan: Agama Islam melarang (haram) ke atas orang yang berhadas besar dari melakukan beberapa perkara seperti berikut:

  1. Solat, sama ada solat fardhu atau solat sunat termasuk sujud tilawah dan sujud syukur
  2. Tawaf dibaitullahilharam, sama ada tawaf fardhu atau tawaf sunat
  3. Membaca, menyentuh dan membawa Al-quran
  4. Membaca khutbah jumaat
  5. Tinggal atau diam didalam masjid,dan bagi orang perempuan yang kedatangan haid dan nifas hendaklah ditambahkan
  6. Melakukan hubungan suami isteri
  7. Berjalan didalam masjid jika ditakuti mengotorkan masjid
  8. Diharamkan juga berpuasa sama ada puasa fardhu atau puasa sunat.

19. Apakah yang dikatakan perempuan istihadah dan adakah diwajibkan mandi?

Jawapan: Bagi orang perempuan perlulah mengetahui masalah-masalah seperti ini dimana apabila ia mendapati darah yang keluar dari kemaluanya itu kurang dari sehari semalam atau melebihi sebanyak-banyak masa haidnya atau kedatangan darah pada masa yang bukan masa haidnya,maka darah itu dinamakan istihadah, iaitu darah penyakit, maka tidaklah diwajibkan mandi keatasnya, cuma wajib dibasuh sahaja dan berwudhuk apabila hendak mendirikan solat, dan juga harus melakukan hubungan suami isteri. Untuk keterangan lanjut dalam masalah ini ikutlah sebuah hadis yang bermaksud:

“Daripada Aisyah telah redha Allah daripadanya bahawasanya Fatimah binti Abi Hubais istihadah(keluaran darah)maka Baginda bersabda terhadapnya,bahawasanya darah haid adalah berwarna kehitaman yang dikenali,maka apabila didapati yang demikian, maka berhentilah dari bersolat,dan apabila didapati selain dari itu,maka hendaklah kamu berwudhuk dan bersolat”.

20. Adakah benar pendapat yang mengatakan bahawa perempuan yang nifas wajib melakukan mandi setelah genap 44 hari dari tarikh ia bersalin?

Jawapan: Itu adalah tidak benar,hanya pendapat orang-orang tua sahaja,tetapi menurut islam bahawa perempuan yang nifas itu wajib mandi sebaik sahaja kering darahnya,sama ada satu lahzah(sekurang-kurangnya nifas) atau 40 hari (ghalib atau biasa nifas) atau 60 hari (sebanyak-banyak nifas). Bagi kebanyakan perempuan nifas dizaman Rasulullah s.a.w ialah selama 40 hari,ini adalah berdasar kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:

“Daripada Ummu Salamah telah reda Allah daripadanya katanya:Adalah perempuan-perempuan yang nifas pada zaman Rasulullah s.a.w biasanya berhenti (tidak bersolat)selama 40 hari”.

(Petikan buku Soal Jawab Fiqh Harian, hasil tulisan Almarhum Ust Ishak Din, Dr Harun Din dan Ust Abu Hassan Din al-Hafiz).

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleppy
Sleppy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *