Tayammum : Bukti Kehebatan Hukum Islam

41 Views
Read Time:3 Minute, 11 Second

Tayammum adalah satu menifestasi terhadap ketinggian hukum. Islam menyediakan kaedah fleksibel dalam mempersediakan ruhani untuk pulang beribadah kepada Allah. Berikut aadlah beberapa penerangan berkenaan tayammum yang boleh menjadi panduan kita bersama. Perbincangan diambil daripada buku “Soal Jawab Fiqh Harian” karangan tiga beradik ulama Malaysia, Almarhum-almarhum Ust Ishak Din, Dr Harun Din dan Ust Abu Hassan Din al-Hafiz.

1. Apakah erti tayammum?

Jawapan: Tayammum ertinya menyapu debu tanah ke muka dan dua tangan hingga ke siku dengan syarat-syarat tertentu.

2. Apakah syarat-syarat tayammum itu?

Jawapan: Di antara syarat-syarat tayammum itu ialah:

  1. Kerana ketiadaan air.
  2. Kerana uzur menggunakan air.
  3. Hendaklah berusaha bagi mencari air terlebih dahulu
  4. Dengan debu tanah yang suci.
  5. Kerana hajat kepada air untuk minum darinya dan binatang yang dihormati.
  6. Setelah masuk waktu solat.

3. Berapakah fardhu atau rukun-rukun tayammum?

Jawapan: Rukun tayammum sebanyak lima perkara:

  1. Niat,iaitu untuk mengharuskan solat.
  2. Memindah debu tanah kepada anggota yang disapu.
  3. Menyapu muka dan dua tangan hingga ke siku dengan dua kali tepuk, sekali untuk muka dan sekali tepuk lagi untuk dua tangan.
  4. Tertib, ertinya mendahulukan menyapu muka kemudian menyapu dua tangan hingga ke siku.

4. Apakah dalil atau keterangan mengenai tayammum?

Jawapan: Keterangan mengenai tayammum ini sudah jelas disebutkan sama ada di dalam Al-Quran,AlHadis dan Ijmak Ulamak. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 6.

5. Apakah perkara-perkara yang menjadi sunat tayammum?

Jawapan: Di antara sunat-sunat tayammum ialah:

  1. Menyebut nama Allah dipermulaan.
  2. Mengadap kiblat.
  3. Dahulukan tangan kanan dari tangan kiri.
  4. Mensedikit atau menipiskan debu.
  5. Berturut-turut.

6. Apakah pula perkara-perkara yang membatalkan tayammum?

Jawapan: Perkara yang membatalkan tayammum ialah:

  1. Perkara-perkara yang membatalkan wudhuk.
  2. Mendapati air bagi mereka yang bertayammum kerana ketiadaan air atau hilang uzur bagi orang yang bertayammum karana keuzuran
  3. Murtad (waliazubillah)

7. Bagaimanakah cara bertayammum bagi mengangkat hadas besar?

Jawapan: Sebenarnya tayammum itu adalah sama tentang kaifiat atau cara sama ada bagi mengangkat hadas kecil atau besar,iaitu dengan menyapu debu tanah ke muka dan dua tangan hingga ke siku,disini perlu diingat bahawa tayammum itu sesekali tidak boleh menghapuskan atau mengangkat hadas,cuma untuk membolehkan seseorang itu beribadat kepada Allah Taala.

8. Adakah bertayammum itu tidak boleh dilakukan dengan debu tepung dan sebagainya?

Jawapan: Sebenarnya dalam masaalah ini pun terdapat bersalahan ulama padanya,menurut dalam mazhab syafiee dan para fuqahak tiada harus bertayammum melainkan dengan tanah yang suci yang ada baginya debu yang boleh melekat pada anggota yang disapu.

9. Adakah bertayammum itu sama sahaja seperti berwudhuk?

Jawapan: Tidaklah sama,kerana tayammum itu hanya sebagai pengganti bagi wudhuk atau mandi di waktu ketiadaan air atau ketika keuzuran menggunakan air,itu pun tidaklah boleh mengangkat hadas,cuma untuk membolehkan seseorang itu mengerjakan solat dan bagi satu tayammum hanya untuk satu solat fardhu sahaja dan beberapa solat sunat termasuklah solat jenazah, maksudnya hendaklah ia bertayammum pada setiap kali hendak mendirikan solat fardhu yang lima waktu menurut dalam mazhab Syafiee.

10. Bagaimankah dengan orang yang sentiasa uzur atau dalam keadaan kemarau yang panjang,bolehkah ia bertayammum terus menerus untuk mengerjakan solat?

Jawapan: Ya,selagi seseorang itu masih uzur tidak boleh menggunakan air atau memang air tidak ada,maka selama itulah harus bertayammum walaupun beberapa tahun tanpa wajib diqadakan solatnya itu,ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis Nabi yang bermaksud:

“Sesungguhnya tanah yang suci itu adalah penyuci orang Islam,dan jika tidak mendapati air selama sepuluh tahun sekalipun, maka apabila mendapati air,maka hendaklah menyentuh akan kulitnya,sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik”.

11. Apakah tujuan dan hikmat diperintah bertayammum?

Jawapan: Tayammum bukan boleh dilakukan sebarangan,cuma di dalam keadaan tertentu sahaja,di mana tujuaannya untuk meringan dan memudahkan kita supaya sentiasa dapat mengerjakan amal ibadat kepada Allah Taala dalam keadaan sakit ataupun di dalam perjalanan dan sebaginya,inilah merupakan suatu kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hambanya.

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleppy
Sleppy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *