Wudhu’ Cahaya Dari Dalam

34 Views
Read Time:8 Minute, 56 Second

Wudhu’ adalah satu ibadah yang unik, menjadikan Islam sebagai agama yang menghubungkan ruh dengan fizik alam. Daripada konsep bersuci, hadas besar dan hadas kecil, Wudhu’ adalah pembuka kepada kesucian ruhaniyyah dalam seseorang hamba, melalui simbolik retual kepada anggota lahiriyyah. Keunikan Wudhu’ ini bukan terletak kepada air, kerana air boleh digantikan dengna debu, tetapi penyucian kepada jiwa ruhani yang terbenam jauh di dalam fizik manusia.

Berikut di bawa, beberapa persoalan mengenai wudu’ untuk perkongsian bersama. Soal jawab ini dipetik dalam buku “Soal Jawab Fiqh Harian” karangan tiga beradik, Almarhum-almarhum Ustaz Ishak Din, Dr Harun Din, dan Ustaz Abu Hassan Din al-Hafiz. Semoga Allah menempatkan ruh mereka bersama para anbiya dan solihin.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan hadas kecil?

Jawapan: Yang dimaksudkan dengan hadas kecil ialah mereka yang tiada wudhuk.

2. Apakah sebab-sebab yang seseorang itu dianggap berhadas kecil?

Jawapan: Apabila berlaku salah satu dari perkara-perkara seperti berikut maka seseorang itu dikatakan berhadas kecil:

  1. Keluar sesuatu dari dua jalan(qubul dan qubur) selain dari air mani
  2. Menyentuh kemaluan manusia dengan tapak tangan atau perut-perut anak jari, sama ada qubul atau dubur dengan sengaja atau terlupa, sama ada kemaluan sendiri atau kemaluan orang lain tanpa lapik.
  3. Sentuhan diantara kulit lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya tanpa berlapik.
  4. Tidur dalam keadaan tidak tetap papan punggungnya
  5. Hilang akal sama ada disebabkan mabuk atau pitam dan sebagainaya.

3. Betulkah pendapat yang mengatakan bahawa kentut sekali batal wudhuk dan kentut dua kali tidak batal?

Jawapan: Ya memang betul,karana kentut yang pertama itu sudah membatalkan wudhuk,sedangkan kentut kali yang kedua dan seterusnya sudah tidak ada apa-apa lagi.

4. Bagaimana dengan pendapat yang mengatakan bahawa sentuhan dia antara lelaki dan permpuan itu tidak membatalkan wudhuk?

Jawapan: Sebenarnya dalam masaalah ini begitu banyak sekali pendapat yang berlainan di kalangan ulamak mujtahidin, tetapi apa yang dibentang di sini ialah menurut pendapat mazhab Imam Syafiee yang berdasarkan firman Allah yabg bermaksud:

“Atau kamu sentuhi perempuan, dan tidak batal wudhuk dengan sentuhan rambut, gigi dan kuku”.

5. Adakah dianggap berhads kecil atau batal wudhuk dengan menyentuh atau memegang benda-benda najis?

Jawapan: Tidaklah pula terdapat sebarang keterangan yang menunjukkan batal wudhuk dengan menyentuh atau memegang benda-benda najis walaupun najis berat,cuma diwajibkan kita membasuh atau membersihnya sahaja atau menyamaknya jika najis berat.

6. Bolahkah jelaskan mengenai sentuhan lelaki dan perempuan di dalam empat mazhab?

Jawapan: Untuk menjelaskan persoalan ini,maka ikutilah seperti berikut:

  1. Mazhab Maliki,bahawa sentuhan diantara lelaki dan perempuan dengan tangannya atau satu juzuk dari badanya dengan keinginannya adalah batal wudhuknya.
  2. Mazhab Hanafi,bahawa sentuhan diantara lelaki dan perempuan walaupaun dalam keaadan bertelanjang kedua-duanya adalah tidak batal wudhuk secara mutlak.
  3. Mazhab Syafie,bahawa sentuhan diatara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah batal wudhuk.
  4. Mazhab Hambali,bahawa sentuhan diantara lelaki dan perempuan walaupun mahram dengan keinginan adalah batal wudhuk.

7. Apakah perkara-perkara yang dilarang kerana berhadas kecil?

Jawapan: Diantara perkara-perkara yang dilarangnya ialah bersolat samada fardhu atau sunat, tawaf di Baitullahilharam samada fardhu atau sunat, membaca khutbah jumaat, menyentuh, membawa, menanggung Al-Quran, sujud Tilawah dan sujud Syukur.

8. Bagaimankah dengan membaca surah Yasin adakah mesti berwudhuk?

Jawapan: Kalau sekadar membaca atau manghafaz tanpa memegang Al-Quran maka tidaklah haram ke atas orang yang berhadas kecil hanya sunat sahaja berwudhuk,begitulah juga dengan menyentuh dan memegang buku yasin yang didalamnya mengandungi terjemahan doa-doa,zikir dan sebagainya, tidaklah haram memegangnya tanpa berwudhuk.

9. Bagaimanakah caranya untuk menghapuskan atau mengangkat hadas kecil?

Jawapan: Untuk menghapuskan atau mengangkat hadas kecil hendaklah seseorang itu berwudhuk,ertinya apabila seseorang itu sudah berwudhuk maka dengan sendirinya hadas tersebut sudah terangkat, dengan lain perkataan ia sudah berada dalam keadaan suci.

10. Apakah yang dikatakan wudhuk itu?

Jawapan: Wudhuk adalah suatu ciri kebersihan dalam Islam yang dituntut dengan membasuh anggota-anggota tertentu yang terdedah dengan mempuanyai rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu.

11. Apakah yang menjadi rukun atau fardhu dalam berwudhuk?

Jawapan: Adapun perkara-perkara yang menjadi rukun atau wajib dalam berwudhuk adalah sebanyak enam perkara:

  1. Niat sewaktu membasuh muka.
  2. Membasuh muka.
  3. Membasuh dua tangan hingga ke siku.
  4. Menyapu sebahagian dari kepala atau rambut.
  5. Membasuh kaki hingga ke buku lali.
  6. Tertib.

Amalan berwudhuk seperti susunan tersebut adalah paling tepat sebagimana dijelaskan oleh Allah dalam Al-Quran surah Al Maidah ayat 6.

12. Bolehkah berikan contoh bagaimana Rasulullah s.a.w berwudhuk?

Jawapan: Untuk mendapat contoh wudhuk Rasulullah s.a.w amatlah banyak yang boleh kita dapati melalui beberapa buah hadis dalam berbagai riwayat di antara lain ialah hadis yang bermaksud:

“Daripada Hamran bahawasanya Osman bin Affan telah redha Allah daripadanya telah meminta air untuk berwudhuk,kemudian beliau terus berwudhuk lalu ia membasuh dua tapak tanganya tiga kali,kemudian berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung dan mengeluarkannya kemudian membasuh ia akan mukanya tiga kali,kemudian ia membasuh tangannya yang kanan hingga ke siku tiga kali,kemudian tangan yang kiri seperti itu juga,kemudian ia menyapu dengan kepalanya,kemudian membasuh ia akan kakinya yang kanan hingga sampai mata kaki tiga kali,kemudian kaki kirinya seperti itu juga,kemudian ia berkata (Saidina Osman) aku lihat Rasulullah s.a.w berwudhuk bagaimana wudhuk yang aku lakukan ini”.

13. Di dalam firman Allah dan hadis yang tersebut di atas tidak pula menyentuh tentang niat,jadi bagaimanakah kedudukan sebenarnya mengenai niat?

Jawapan: Walaupun tidak disebutkan didalam keterangan dia atas namun niat mesti wujud dalam setiap amal ibadah kepada Allah, ini dapat difahami dari sebuah hadis nabi yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap amalan itu mestilah dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu berdasar kepada apa yang diniatnya”.

14. Adakah membasuh hidung dalam berwudhuk itu merupakan suatu perkara wajib?

Jawapan: Ya memang wajib kalau seseorang itu berwudhuk tanpa membasuh hidungnya, adalah jelas tidak sah wudhuknya,kerana hidung itu adalah sebahagian dari muka yang mesti dibasuhnya sewaktu berwudhuk, manakala perbuatan memasuk atau menghisap air ke dalam hidung adalah sunat hukumnya.

15. Bilakah masa yang sepatutnya kita berniat,samada sebelum atau sesudah berwudhuk?

Jawapan: Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, bahawa niat wudhuk hendaklah disertakan sewaktu membasuh muka,ertinya kalau seseorang itu berniat sebelum atau sesudah berwudhuk maka tentulah tidak sah wudhuknya,ini adalah menurut pendapat imam syafie, manakala imam Maliki pula adalah memadai niat sebelum berwudhuk,sedangkan imam Hanafi berpendapat bahawa niat wudhu itu adalah sunat sahaja dan imam Ahmad bin Hambal mengatakan bahawa niat wudhuk itu adalah sebagai satu syarat.

16. Adakah wudhuk perlu diambil pada setiap kali hendak mendirikan solat?

Jawapan: Bagi mereka yang berhadas kecil adalah merupakan suatu syarat mesti berwudhuk apabila hendak mendirikan solat,tetapi bagi mereka yang suci dari hadas kecil(tidak batal wudhuk)maka diharuskan baginya bersolat beberapa kali dalam beberapa waktu, cuma disunatkan sahaja ia membaharui wudhuknya bagi mengerjakan solat-solat seterusnya.

17. Apakah perbezaan diantara tertib dan mualat dalam berwudhuk dan apakah hukumnya?

Jawapan: Tertib dalam bahasa arab yang bermaksud,mendahulukan yang dahulu dan mengkemudiankan yang kemudian dengan menurut susunannya, manakala mualat yang bererti berturut-turut iaitu dengan membasuh anggota-anggota wudhuk satu demi satu tanpa ada perceraian yang panjang,demikian juga diantara basuhan anggota yang satu tanpa kering basuhan yang pertama kemudian diikuti dengan basuhan kali kedua dan ketiga, maka begitulah seterusnya dengan anggota yang lain.Maka tertib dalam berwudhuk itu adalah wajib dalam mazhab Syafiee dan Hambali,manakala mualat adalah sunat bagi mereka yang selain dari Sahibul- dharurah. Mualat pada mazhab Maliki dan Hambali adalah fardhu, manakala tertib dalam berwudhuk bagi mazhab Maliki dan Hanafi adalah sunat hukumnya.

18. Apakah perkara-perkara yang disunatkan dalam berwudhuk?

Jawapan: Perkara-perkara sunat dalam berwudhuk amatlah banyak diantaranya menyebutkan nama allah dipermulaan,mengadap qiblat, membasuh tiga kali bagi setiap anggota wudhuk,membasuh kedua-dua tangan hingga ke pergelangan,berkumur-kumur,menghisap air ke hidung,menyapu sekelian kepala,membasuh kedua telinga luar dan dalam,menyelati janggut yang tebal,menggosok anggota yang dibasuh berturut-turut, melebihkan basuhan dari yang wajib, membaca doa sesudahnya dan lain-lain lagi.

19. Apakah hukum wudhuk dan solat yang dikerjakan oleh seseorang apabila selesai sembahyang ia mendapati sisik ikan terlekat ditangannya?

Jawapan: Maka wudhuk dan solatnya tidak sah,dan wajib ditanggalkan sisik ikan itu dan basuh semula ditempat tersebut dan anggota-anggota wudhuk yang berikut menurut tertibnya dan diulangi semula solatnya.

20. Bagaimana pula dengan wudhuk orang yang sentiasa keluar air kecil (daimul hadas)?

Jawapan: Bagi orang yang menghidap panyakit seperti ini,maka ia juga diwajibkan berwudhuk apabila hendak mendirikan solat dengan syarat hendaklah ia berwudhuk setelah masuk waktu solat dan sebelum berwudhuk hendaklah membuat pembersihan dengan dibasuh atau disuci kemaluannya,kemudian hendaklah dibalut atau diikat dengan umpama kain atau kapas dan sebaginya, kemudian berwudhuklah dengan seberapa segera dan terus mendirikan solat tanpa lengah atau melambat-lambatkan.

21. Apakah tindakan yang perlu dilakukan apabila seseorang itu merasa ragu tentang wudhuknya sama ada batal atau tidak?

Jawapan: Apabila seseorang merasa ragu tentang wudhuk sebelum mendirikan solat maka hendaklah dikembalikan pada asalnya adakah ia sudah berwudhuk sebelumnya atau tidak, Kalau ia sudah berwudhuk, bererti wudhuknya masih ada, sebaliknya kalu tidak maka tiadalah ia, tetapi kalu datang syak di dalam solat adakah batal atau tidak wudhuknya maka hendaklah diteruskan solatnya hingga nyata dan yakin batal wudhuknya.Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

“Daripada Ubbad bin Tamin daripada bapa saudaranya bahawasanya mengadu ia kepada Rasulullah s.a.w mengenai seorang lelaki yang mendatangkan keraguan padanya di mana ia mendapati sesuatu didalam solatnya,lalu Baginda bersabda: Janganlah berpaling atau keluar dari solat hingga mendengar ia akan suara atau mendapati bau(yakin keluar angin)”.

22. Betulkah pendapat yang mengatakan bahawa Baginda pernah berwudhuk dengan secupak air dan mandi dengan segantang air?

Jawapan: Ya memang betul Baginda berbuat demikian, bahkan Baginda melarang dari membazir air dalam berwudhuk atau mandi, untuk menguatkan pendapat ini,maka ikutlah sebuah hadis yang bermaksud:

“Daripada Omar telah redha Allah daripadanya berkata ia:Adalah Nabi s.a.w berwudhuk dengan secupak air dan mandi dengan segantang hingga lima cupak”.

23. Apakah ada syarat-syarat sah wudhuk?

Jawapan: Ya tentulah ada,di antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  1. Orang Islam yang sudah mumaiyiz
  2. Orang yang berakal.
  3. Suci dari haid dan nifas
  4. Air yang suci lagi menyucikan
  5. Jangan ada sesuatu yang mengubah sifat air pada anggota wudhuk
  6. Jangan ada sesuatu yang menegah dari sampai air pada anggota wudhuk.
  7. Mengetahui dan memahami cara-cara berwudhuk,serta dapat membezakan diantara wajib dan sunat.

24. Apakah hikmat dan kelebihan berwudhuk dalam Islam?

Jawapan: Sebagai suatu perintah daripada Allah dan Rasulnya,tentulah berwudhuk itu mengandungi berbagai kebaikan dan hikmatnya selain dari mengajar dan mendidik kita supaya beramal dengan kebersihan,maka wuduk juga boleh menghapuskan kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh seseorang itu,ini amatlah jelas sekali sebagimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Siapa yang berwudhuk lalu mengelok atau menyempurnakan wudhuknya nescaya keluarlah segala kesalahan dari badannya hingga dosa dari bawah kuku-kukunya”.

“Sesungguhnya umatku akan datang pada hari kiamat nanti dalam keadaan cantik berseri serta bercahaya muka dan tangannya dari kesan-kesan wudhuk”.

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleppy
Sleppy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *